Ahad, 15 Jun 2008

BADAN BERTINDAK MAHASISWA NEGARA KEMBALI BERSATU MENYENGAT!!!



Pada 6-8 Jun telah diadakan Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional. Program ini dirancang bertujuan bagi memperkasakan Badan Bertindak Mahasiswa Negara.

Sejak kebelakangan ini BBMN dilihat sebagai sebuah badan yang lesu dan seperti tidak menyengat. Hidup segan, mati tak mahu. Itulah perumpamaan yang mungkin sesuai untuk saya padankan. BBMN kehilangan pemimpin yang berjiwa besar untuk menerajui kepimpinan disaat-saat menghadapi kekalahan. Ruh pengasas BMMN Dr Zulkifli Yaakob mungkin tidak sampai kepada generasi BBMN yang baru ini. Begitu juga energy yang ada pada Amin Idris tidak lagi diwarisi oleh pendokong BBMN dikala ini.

Bagi ahli Pro-M yang memenangi kerusi samaada diperingkat Umum ataupun Fakulti, mereka merasakan diri kerdil dan tidak yakin untuk menonjol. Seperti seekor semut merah yang kecil saiznya berhadapan dengan Sang Gajah yang begitu besar. Mereka tidak sedar bahawa semut merah ini lebih bertenaga daripada Sang Gajah yang besar tersebut. Bisa menggigit sang gajah. Sudah tentu Sang Gajah akan meronta kesakitan dek kenakalan dan gangguan daripada semut merah ini.Pemerintah yang dianggap “Super Power” seperti Namrud sendiri pun dikalahkan oleh seekor Nyamuk.

Tubuh bukan menjadi ukuran. Yang penting semangat yang membara di dalam ahli BBMN sendiri yang akan menjadikan halatujunya lebih jelas dan tersusun.Melalui ini konvensyen ini, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa sebulat suara melantik Saudara Hilman B Nordin sebagai Pengerusi BBMN yang baru. Insya Allah dengan kapasiti yang ada pada beliau saya yakin dan percaya, BBMN pada kali ini mampu untuk bersuara memperjuangkan suara mahasiswa. Di bantu oleh Saudari Nur Izati sebagai timbalan pengerusi , Nor Farhana Farzieana bt Azmi sebagai setiausaha agung dan beberapa wakil yang bakal mengepalai zon masing-masing.Konvensyen ini juga telah memberi signal awal bahawa BBMN sudah bersedia untuk memanjat pejabat PM dan menteri-menteri di Putrajaya untuk memperjuangkan isu mahasiswa.

Kepada sahabat-sahabat BBMN, kalian merupakan pemimpin yang dipilih oleh sahabat-sahabat kita didalam PRK kampus. Kalian umpama YB-YB yang menerima amanah daripada rakyat. Sekiranya GAMIS menjadi himpunan kepada wakil GMI seluruh kampus untuk bersidang, maka BBMN menjadi medan untuk YB-YB dari setiap kampus untuk memperjuangkan isu kemahasiswaan.

BBMN

Jumaat, 6 Jun 2008

Protes beri kerajaan tempoh 5 minggu tarik balik harga minyak

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) memberi tempoh lima minggu kepada kerajaan untuk menarik balik kenaikan harga minyak serta bertindak positif terhadap permintaan rakyat sebelum gabungan tersebut mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 12 Julai 2008 ini.

ImageAmaran tersebut dilontarkan Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli melalui persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat sekretariat Protes bagi mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.

Mesyuarat tersebut dihadiri beberapa orang wakil NGO dan parti politik yang bertempat di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hatta dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berkata, perhimpunan di KLCC pada jam 3 itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 rakyat.

"Kami juga mempunyai masa lima minggu untuk merancang menggerakkan rakyat sepertimana menggerakkan himpunan Bersih tahun lepas. Tindakan kami tidak jauh beza sewaktu kenaikan harga minyak 30 sen yang lalu. Walaupun kami ditekan dengan pelbagai insiden termasuk 'Bloody Sunday' dalam siri-siri bantahan kami, namun ia akan tetap diteruskan.

"Ada yang mengatakan apa ada pada demonstrasi kerana menyusahkan rakyat, sehingga ada yang terpaksa menutup kedai mereka kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut. Tetapi kesannya ialah keputusan pilihan raya ke-12 lalu. Rakyat sudah faham akan isu ini dan mengambil tindakan pada pilihan raya," katanya.

Katanya, sebagai gerakan pertama bantahan Protes, satu perhimpunan akan diadakan di Seremban pada 14 Jun ini (Sabtu) diikuti 'road show' ke setiap negeri berdasarkan tarikh yang akan ditetapkan nanti.

ImageTambahnya pada setiap siri bantahan tersebut, Protes akan mengedarkan risalah yang mengandungi hujah-hujah bagi menangkis kenyataan kerajaan berkenaan kenaikan harga bahan api itu.

Dalam pada itu katanya orang ramai juga boleh melayari blog Protes, hargaminyak@blogspot.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya yang akan mengemas kini tindakan yang diambil oleh Protes dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, Protes juga akan meminta Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sokongan daripada parti Pakatan Rakyat bagi mengadakan aktiviti bantahan kenaikan harga minyak ini di tempat masing-masing.

Jelasnya Protes juga akan menghubungi negeri-negeri yang dinaungi Pakatan Rakyat bagi tindakan bersama. Beliau percaya kelima-lima negeri tersebut mempunyai kuasa untuk mempengaruhi rakyat dan boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, Protes juga menggalakkan sebarang organisasi bagi melaksanakan bantahan kerana isu ini bukan hanya melibatkan golongan tertentu tetapi melibatkan semua golongan masyarakat.

Selain itu katanya Protes juga mengalukan mana-mana pihak untuk mengadakan bantahan setiap minggu seperti selepas solat Jumaat di kawasan masing-masing.

"Kemarahan ini menyeluruh dan bukan tindakan politik semata-mata. Kesannya dirasai oleh semua, hinggakan kita dapat melihat bagaimana keadaan kelam kabut apabila rakyat agak terdesak dengan mengisi minyak sebelum tengah malam tadi.

"Jika kerajaan memikirkan masa depan politiknya, seharus kerajaan mengambil tindakan di atas bantahan rakyat ini. Jika kerajaan tidak prihatin juga dengan segala bantahan kita melalui siri ceramah dan demonstrasi, kami akan meneruskan tindakan selanjutnya selepas perhimpunan 12 Julai nanti," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika kerajaan mengambil tindakan menolak segala hasrat rakyat, Protes akan akan mengorak langkah lagi bagi menganjurkan beberapa tindakan massa yang boleh memberi petunjuk kepada kerajaan.

Beliau menaruh keyakinan dengan kenaikan mendadak tersebut usaha yang dilakukan Protes itu akan memberi impak kepada kerajaan.

Kenaikan tersebut katanya sewaktu kerajan tidak bersedia melaksanakan polisi-polisi yang membantu rakyat terlebih dahulu untuk menyediakan mereka yang berdepan dengan suasana tidak mempunyai subsidi.

"Kerajaan tidak meluluskan tuntutan gaji minima yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) dan Pakatan Rakyat dengan memberikan pelbagai alasan. Kerajaan tidak menyediakan tahap gaji yang sama seperti negara maju yang lain. Contohnya Singapura sebelum berhujah bahawa harga minyak Malaysia lebih rendah daripada Singapura.

"Gaji kakitangan awam tidak setimpal dan kesan kenaikan bahan api yang tinggi ini tentu tidak akan dapat 'offset' dengan gaji yang sedia ada termasuk kenaikan harga barang sebelum ini yang menyusahkan rakyat. Tabung Pemberhentian Kerja yang dicadangkan MTUC juga ditolak, sedangkan ini merupakan salah satu cara membantu rakyat yang kehilangan kerja," katanya.

Jelasnya tindakan kerajaan menolak tuntutan rakyat ini, tidak memberi keadaan adil kepada rakyat apabila berlaku kenaikan harga minyak dan barang.

Sementara itu mengulas mengenai rebet yang disediakan oleh kerajaan, beliau berkata ia umpama 'umpan' pilihan raya untuk menakluk hati rakyat. "Setiap kali pilihan raya ada 'umpan' seperti ini untuk memujuk rakyat. Dengan RM50 mereka mengundi BN dan mereka menderita lima tahun hanya kerana 'umpan' RM50 itu. RM625 untuk menyelamatkan 800 liter minyak, dalam masa sebulan atau dua akan habis.

"Janganlah rebet ini digunakan untuk 'menggula-gulakan' seolah-olah kerajaan bersimpati dengan rakyat. Kami menganggap ini merupakan salah satu cara untuk memujuk rakyat supaya menerima 'malapetaka' yang lebih besar," katanya yang mengharapkan rakyat tidak terpukau dan tertipu dengan pemberian rebet tersebut.

Khamis, 5 Jun 2008

Menaikkan harga hanya menyelesaikan masalah jangka pendek

Keputusan kerajaan menaikkan harga minyak secara drastik menjadi tsunami yang begitu teruk kepada rakyat Malaysia memandangkan pendapatan mereka masih tidak dinaikkan lagi.

Malah, langkah kenaikan harga bahan api ini dilihat hanya satu cara penyelesaian jangka pendek, yang bukan sekadar menyebabkan kos pengangkutan bertambah tinggi, tetapi turut melibatkan harga barangan meningkat, tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Menurut beliau, sementara harga bahan api naik sebanyak 60 peratus, RM625 subsidi hanya cukup untuk tiga bulan sahaja serta dilihat tidak dapat menyelesaikan tekanan hidup rakyat Malaysia.

"Disebabkan pengangkutan awam yang tidak berkesan, para pekerja masih bergantung kepada kenderaan sendiri ke tempat kerja. Lebih mengecewakan, RM9.9 bilion yang dikatakan dijimatkan di antara tempoh kenaikan harga bahan api yang lepas dan kini, ia langsung tidak menaikkan taraf pengangkutan awam negara," tegas beliau dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily, hari ini.

Katanya, Malaysia merupakan negara pengeksport petrol yang juga akan mendapat keuntungan yang tinggi semasa harga pasaran dunia naik sampai melebihi US130, di mana rakyat Malaysia sepatutnya mendapat manfaat daripada kenaikan harga petrol sedunia.

"Sudah tibanya masa Petronas melaksanakan prinsip ketelusan dalam keuntungan yang diperolehi, agar keuntungan yang dimiliki Malaysia dinikmati semua rakyat jelata," tegas beliau.

Sehubungan itu, Elizabeth berkata kerajaan sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan, khasnya dalam aspek perancangan dan pengurusan ekonomi.


TeMeRlOh

Harga baru minyak sepatutnya dibahas di Parlimen - Mahfuz

Harga minyak mungkin tidak perlu dinaikkan jika kerajaan mengambil sikap terbuka dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menggesa kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak yang diumumkannya semalam dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

"Walaupun kenaikan harga minyak berada dalam bidang kuasa kerajaan, tetapi oleh kerana kenaikan berskala besar kali ini pasti akan memberi kesan yang menindas kehidupan rakyat, ia hendaklah ditarik balik atau sekurang-kurangnya ditangguhkan sehingga perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak dibuat," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kenaikan harga yang sebegitu kejam terhadap rakyat tidak patut dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak termasuk membentangkannya di Parlimen.

"Saya yakin, jika kerajaan membentangkan perkara ini di Parlimen terlebih dahulu, kesemua wakil rakyat boleh memberikan pelbagai pandangan yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan.

"Malah, mungkin harga minyak tidak perlu dinaikkan dengan pelbagai pandangan yang diberikan," katanya.

Mahfuz bimbang kenaikan harga sehingga 78 sen bagi minyak petrol dan RM1 bagi minyak diesel kali ini akan menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebelum ini, hanya Malaysiakini yang membayangkan harga minyak mungkin dinaikkan semalam. Media-media pro-kerajaan tidak kelihatan memberikan sebarang isyarat harga minyak akan dinaikkan semalam malah membayangkan harga minyak akan dinaikkan pada bulan Ogos.

"Soal kredibiliti media-media tersebut tersebut tidak perlu dibincangkan. Masalahnya rakyat tidak diberikan sebarang isyarat bahawa harga minyak akan dinaikkan semalam untuk membolehkan mereka bersedia dan membuat pengubahsuaian," kata beliau.

Rakyat kini begitu resah dan panik dengan kenaikan harga berskala besar yang begitu mengejut, kata beliau sambil membayangkan kenaikan harga barang pasti akan menyusul.

"Huru-hara mungkin akan berlaku jika rakyat tidak mampu menanggung lagi kesan kenaikan harga minyak yang pasti akan berjangkit dengan begitu cepat kepada barangan lain," katanya.

Mahfuz percaya, masih belum terlambat lagi kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak itu dan membincangkannya dengan menyeluruh dengan semua pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen, persatuan-persatuan pengguna, ahli-ahli akademik dan lain-lain sehingga satu keputusan yang tidak menindas dan begitu kejam terhadap rakyat dapat dibuat.



syababislam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...