Sabtu, 27 September 2008

Allahuakbar!!! susah sangat ke!!!

Perkara yang amat sukar dalam hidup ini adalah istiqamah atas kebenaran. Istiqamah bermaksud berdiri teguh sepanjang masa berada atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan. Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab:

“Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang” (Ibn Qayyim, Tahzib Madarij al-Salikin, 2/528, Beirut: Muassasah Fuad).

Inilah perkara yang ringkas disebut, berat untuk dilaksanakan dalam hidup. Jadi, istiqamah mempertahankan kebenaran bererti sentiasa berdiri teguh menegakkan kebenaran dalam apa keadaan sekalipun.

Mempertahankan kebenaran secara istiqamah bukanlah tugas yang ringan. Sekalipun ramai yang pandai berceramah atau berslogan sakan tentang kewajipan dan amanah berdiri teguh atas kebenaran, tetapi belum tentu yang berceramah itu sanggup menghadapi badai cabaran pada setiap musim. Jika ada yang sanggup mempertahankan kebenaran dalam beberapa keadaan, malangnya apabila tiba waktu tertentu dia gugur dan layu.

Ada yang lantang mempertahankan kebenaran bukan kerana kebenaran itu dituntut, tetapi kerana merasakan ‘pasaran’ tajuk tersebut laris untuk dilelong, maka dia pun sakan berkempen. Sehingga sekali pandang seakan dia pejuang kebenaran.

Malangnya, apabila tiba pada masa kebenaran itu tidak mendapat sambutan, dia pun menyembunyikan diri dan lari. Bahkan lebih buruk lagi, dia pun mungkin akan bersekongkol dalam menyindir atau menentang kebenaran.

Insan yang beristiqamah tidak sedemikian rupa. Dia akan mempertahankan kebenaran di kala orang ramai suka dan tidak suka. Di kala kebenaran diterima ramai, atau ditolak orang. Tanpa mengira, samada mempertahankan kebenaran itu mengundang untung, atau rugi. Samada dia disukai kerananya, atau dibenci.

Kebenaran adalah kebenaran. Dia tidak akan menukarkan kebenaran dengan kebatilan hanya disebabkan kepentingan habuan yang diharapkan, atau pangkat yang diidamkan.
Ramai insan yang telah mengorbankan kebenaran kerana sayangkan hartanya. Ada yang menolak kebenaran hanya kerana pangkat yang dipegangnya. Bukan kerana mereka tidak tahu yang benar itu benar.

Justeru itu Allah mengingatkan Bani Israil yang merupakan kaum yang mengetahui kebenaran yang pernah turun kepada Nabi Musa a.s. Mereka sepatutnya menjadi orang yang awal beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. kerana mereka memahami kebenaran. Malangnya mereka menolak, atas kepentingan.
Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu Dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa gerun. Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang membenarkan kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula kafir (engkar) dengannya; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli perkara-perkara yang murah; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 40-42).

Maka tidak hairanlah, betapa ramai golongan agama dalam dunia ini yang kerana diberi pangkat ‘mufti’ atau ‘kadi’ atau ‘pengarah itu dan ini’ lalu mereka mendiamkan tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata sedangkan mereka mampu. Bukan mereka tidak tahu, namun mereka bimbang jawatan mereka dikacau orang. Padahal, dengan jawatan yang diberikan, banyak perkara yang dapat ditegur dan dibetulkan. Namun mereka mendiamkan diri bagaikan ada butiran permata dan berlian yang tersimpan.

Sebenarnya, bukan permata atau berlian yang tesimpan di lisan, tetapi jawatan yang tersimpan dalam perasaan. Bak kata lirik: “Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan”. Mungkin jika lirik itu digubal semula maka jadinya: “Hendak mati di atas kerusi, hendaklah berkubur dalam jawatan”. Apa tidaknya, sesetengah jawatan itu ada kereta khas, pejabat yang besar dan gaji yang besar.

Sepatutnya fungsinya pun besar. Namun, ramai yang berpangkat hanya hebat kerana pangkatnya, tidaklah pula rakyat tahu apakah fungsinya yang telah dimainkan sesuai dengan gaji yang besar yang kaut dengan selesa itu. Jika dibuang pangkatnya, lalu dinilai ucapan, pemikiran, tulisan, bahkan ilmunya, kelihatan tidak lebih, bahkan mungkin kurang daripada sebahagian orang awam yang lain.

Sukarnya untuk kita meminta mereka seperti itu mempertahankan kebenaran sehingga mengorbankan ‘kemeriahan harta’ yang sedang mereka perolehi. Bukan sahaja mereka, ramai yang lain di kalangan manusia yang hanya kerana beberapa kerat harta, atau wang, atau idaman yang dijanjikan, kebenaran diketepikan. Jika mereka tidak tentang pun, mereka diam, sehingga kebenaran itu mati.

Beristiqamah dalam mempertahankan kebenaran bererti seseorang bersedia untuk menanggung risiko sekalipun pahit dan getir. Sanggup dipukul gelombang anti-kebenaran sekalipun menyebabkannya terdampar jauh tersisih ke dataran yang sangat asing. Istiqamah mungkin menyebabkan hilangnya pangkat dan harta.

Namun, kebenaran tidak boleh dijual beli. Itulah jalan para nabi a.s. sepanjang zaman. Para pengikut nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqamah dan tidak hairanlah mengapa Allah menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqamah.

Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).

Kebenaran itu tidak pernah mengenali pangkat, puak, parti, gelaran dan warna kulit. Kebenaran tidak mempunyai identiti daerah, atau negeri atau bangsa atau keluarga. Kebenaran itu tetap kebenaran berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya.

Istiqamah mempertahankan kebenaran bererti terus menegakkan kebenaran tanpa mengira pangkat, atau gelaran atau kedudukan atau puak. Ini tidak dapat dilakukan oleh mereka yang bersifat hizbiyyah (kepuakan). Samada ekstrimis parti ataupun kumpulan atau mazhab, atau organisasi tertentu akan gagal beristiqamah apabila tiba giliran kesalahan itu berada di puak mereka.

Ramai tokoh-tokoh yang bersifat hizbiyyah ini akan lantang menghentam dan mengkritik kemungkaran yang lakukan oleh musuh-musuh mereka. Malang sekali, apabila perkara yang sama dilakukan oleh ‘orang mereka’ atau ‘pemimpin mereka’ atau ‘parti mereka’ mereka akan mendiamkan diri.

Kita boleh lihat gelagat parti-parti politik dalam negara kita ini pun. Ada perkara yang dihukum haram atau sesat pada masa lepas, didiamkan sahaja pada hari ini apabila mereka terjerumus sama. Ada pula perkara yang dianggap salah dan tidak bermoral lalu ditentang habis-habisan, tiba-tiba hari ini mereka atau parti mereka pula melakukannya atau mengiktirafnya.
Maka kita tidak hairan jika golongan yang seperti ini bermakian antara satu sama lain pada hari ini. Mungkin besok lusa, atau setahun dua lagi mereka berpelukan dengan mesra sekali. Padahal kedua-dua pihak belum pun mengubah prinsip atau masih atas ‘mazhab lama’, tetapi segala dosa dan nista dapat dilupakan kerana ‘kita sudah geng’ dalam politik.

Jika ada yang mengumpulkan keratan akhbar beberapa tahun dahulu, lalu dibandingkan dengan pendirian politik pada hari ini, akan melihat betapa berbeza perkataan dan penilitian. Bukan sahaja dalam soal remeh temeh, bahkan soal-soal prinsip mereka pun, sudah ramai yang berubah. Jika perubahan itu ke arah positif, kita alu-alukan. Tetapi jika ia bagaikan musang, bak kata Saidina ‘Umar, itu amat mendukacitakan.

Namun, janganlah pula kita hairan, jika setahun dua lagi orang-orang politik yang berkasih sayang pada hari ini, tiba-tiba akan akan berperang kembali antara satu sama lain. Segala kesalahan semasa ‘persahabahatan’ dahulu akan diungkit kembali, dan segala yang didiamkan akan dibising semula.

Hal ini berbeza dengan mereka yang istiqamah. Dalam menegakkan kebenaran tidak pernah mengira samada kawan atau lawan. Parti sendiri atau parti musuh. Seagama, atau berlainan agama. Ini prinsip yang luhur dan telus. Atas prinsip ini jugalah orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah pentadbiran Islam. Perbezaan agama tidak pernah menghalang untuk para pemerintah Umat Islam yang adil seperti al-Khulafa’ al-Rasyidin menegakkan kebenaran. Sekalipun dalam membela mereka terpaksa menghukum orang Islam yang bersalah.
Malang dalam dunia aliran buta fakta, celik lambang puak dan kumpulan, berpendirian bagi mereka diukur dengan kesetiaan kepada parti atau kumpulan, atau mazhab sekalipun ternyata dalam perkara yang silap atau salah. Terus setia tanpa bantahan sekalipun atas kesalahan dianggap sebagai istiqamah atau teguh pendirian. Sementara sesiapa yang menyokong atau mengkritik pandangan-pandangan pemimpin atau tokoh berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan dianggap tidak berpendirian.

Paksi kebenaran bagi mereka adalah tokoh, kumpulan, puak, parti bukan fakta dan alasan. Inilah asabiyyah yang sebenar.

Nabi s.a.w pernah bersabda:
“..Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).


Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadis-hadis Sunan Ibn Majah:
“Bendera kebutaan adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil”. ( Al-Sindi, Syarh Ibn Majah, 4/326 Beirut Dar al-Ma’rifah).


Bimbang takut dikatakan tidak berpendirian, maka ramai insan dalam negara ini yang mengambil sikap sangat berpihak. Mereka kehairanan jika ada sesiapa yang bercakap atas kebenaran tanpa melihat kepada warna kumpulan atau parti, sebaliknya atas kebenaran dan fakta. Mereka tertanya: “kenapa awak sekejap menyokong kami, sekejap tidak? Ini tidak berpendirian namanya”.
Mereka lupa, paksi pendirian itu sepatutnya diukur dengan alasan yang dipegang oleh seseorang. Bukan kumpulan yang disokong. Jika seseorang asyik menyokong kumpulannya sahaja tanpa bertanya samada benar ataupun salah, maka itu namanya ‘pak turut’ atau ‘taklid buta’. Golongan inilah yang sepatutnya dihukum tidak berpendirian.

Malanglah, jika ukuran telah terbalik, maka bak sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat..” (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Demikian, insan perlu istiqamah dalam pendiriannya, merentasi sempadan parti atau sebarang organisasi. Hidup untuk kebenaran, atas kebenaran. Ia satu prinsip yang lebih utama yang mampu mneyelamatkan manusia dari jatuh ke lembah penyelewengan hidup. Prinsip yang goyah dipukul badai, dan tidak lapuh dek panas mentari.

Dalam hadis Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau”. Jawab Nabi s.a.w: “Katakan: aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.

Khamis, 25 September 2008

Salam Kembali

Kala senja itu tiba
ku termenung sendirian,
terasa diriku ini jauh dari rahmat tuhan,
dosa yang aku lakukan,
menerjah ruang fikiran,
masihkah ada untukku keampunan,
Gelap rasa dunia ini tanpa cahaya ilahi,
Baru kini ku sedari jalan yang aku lalui,
memusnah pedoman hidup,
Melempar hatiku ini
ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu,
Terbit cahaya darimu,
Memandu hambamu menuju iman,
menginsafi diri dengan ketakwaan dan kesabaran,
Kau terangi jalanku menuju syurgamu.
dan kau tunjuki dengan hidayahMU,
Hanyalah padaMU ku hadapkan diri mohon keampunan.
Wahai yang maha pengasih bantulah hambaMU ini,
yamg kian terumbang ambing didalam arus duniawi,
ku berdoa kepadaMU mohon limpah rahmatMU,
Moga hidupkukan bersinar kembali...

Pertamanya Alhamdulillah setelah sekian lama diriku meninggalkan coretan di alam cyber ini, diriku kembali mencoretkan sebutir mutiara buat diri ini dan sahabat-sahabat sekalian. Setelah beberapa agenda dilakukan bagi keberlangsungan islam di kampus, Alhamdulillah walaupun tidak semua yang dirancang berjalan dengan sebaik yang diharapkan. Kadang-kala diri ini terfikit adakah sahabat-sahabatku memahami segala bentuk agenda dakwah yang perlu dijalankan. Adakalanya terfikir dibenak hati ini apabila melihat ada sahabat-sahabat yang beranggapan bahawa method dakwah di kampus hanya dengan program-program, edaran risalah dan yang hanya nampak lebih kepada islamik semata. Ya....memang semua itu benar belaka....tapi mengapa mereka tidak cuba memasukkan diri mereka kedalam kasut mereka yang kita anggap mereka sebagai mad'u kita. Ya Allah berilah diriku dan sahabat-sahabatku memahami segala aspekperjuangan dijalanMu Ya Allah. Terkejut bila diri ini dikecam oleh sahabat-sahabat sendiri bila cuba menggunakan skill-skill yang begitu halus dgn menyelami mad'u dengan lebih rapat. Terngiang-ngiang lagi ditelinga ini akan kata-kata sahabat..."Nta xleh wat macamni xleh sampai tgh malam....bla..bla..bla..."..Ya Allah ampunilah diri ini jika hambamu ini melakukan kesilapan. Terfikir sejenak...dakwah ini ada had ker...xakan ana nak sampaikan msg ana pada waktu malam menjadi kesalahan...barulah ana sedari akan kata-kata seorang ustaz ketikamana ana ditamrinkan. tapi tak ingat nama ustaz 2..."Akan muncul dalam jemaah kamu nanti mereka-mereka yang cuba bahagikan diri mereka pada golongan tarbawi dan syiasi..." bila ana terfikir apa yang cuba dimaksudkan oleh ustaz nampaknya ada sedikit kebenarannya..Sebagai seorang yang mudah rapat dengan sahabat dalam j atau pun dalam kelas...ana cuba menggunakan segala peluang yang ada...ana banyak mendapat informasi dari kawan-kawan yang bukan sefikrah perjuangan agar agenda dakwah di kampus lebih terlaksana..amat menyedihkan bilamana sahabat yang mengecam sedikit sebanyak tentang skill yang lebih halus itu adalah sahabat yang tidak cuba untuk rapat dengan masyarakat yang tidak sesyiar sepertimana yang mereka izzahkan. Kalaulah tidak cuba untuk mengambil risiko, mengapa perlu ada di atas landasan ini, risiko difitnah dan sebagainya bukanlah baru dalam perjuangan ini. Sejak ketikamana nabi membawa dakwah islam lagi fitnah keatas baginda memang tidak dapat dinafikan. Kepercayaan diantara sahabat-sahabat didalam jemaah diaplikasikan ke?Mengapa wujud golongan tarbawi dan syiasi? yang sepatutnya sebagai seorang ahli jemaah menguasai kedua-duanya. Kadang-kadang perlu ada sedih dalam diri apabila melihat mad'u yang tidak mendapat inayah dariNYA...tapi sedihku apabila melihat sahabat seangkatanku bermain dengan bayag-bayang sendiri......
" Ya Allah janganlah Kau membolak-balikkan hati kami setelah Kau memberi petunjuk kepada kami....."
Ameen....

Khamis, 21 Ogos 2008

Pro Mahasiswa Nasional Dilancarkan



KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Gerakan Mahasiswa hari ini maju setapak kehadapan apabila berjaya menubuhkan dengan rasminya suatu front baru yang diberi nama PRO MAHASISWA NASIONAL. Acara penuh bersejarah itu telah berlangsung di hadapan Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Kuala Lumpur.Upacara tersebut dimulakan dengan ucapan bersemangat saudara Norazali Zainuddin yang juga merupakan Pengerusi front berkenaan, saudara Mohd Haafizuddin Abirerah merangkap Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz selaku Jurucakap Pro Mahasiswa merangkap Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), saudara G. Sasikumar, saudara Goohan, dan saudara Teh Hoong Kiat.Menurut saudara Norazali, Pro Mahasiswa Nasional ini mendapat sokongan padu kira-kira 5000 mahasiswa di setiap kampus dan IPT.“Penyokong tegar kami di setiap kampus adalah kira-kira 5000 orang, dan kami menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat lagi sebanyak 10 000 orang berdasarkan situasi semasa yang berlaku pada hari ini di mana rata-ratanya mahasiswa kini mahukan pembaharuan dan perubahan” ujar beliau.“Selain itu, kita juga mahu menunjukkan kepada umum bahawa bumi Universiti Malaya ini tidak pernah sunyi daripada laungan keramat suara mahasiswa dan kita menuntut agar pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) memberikan keadilan yang sewajarnya kepada seluruh mahasiswa untuk berdemonstrasi. Jika para pelajar UITM dibenarkan untuk berdemonstrasi dan berarak di jalanraya, maka kami juga menuntut untuk dibenarkan berbuat demikian” tegas beliau lagi.Dalam pada itu, menurut Jurucakap Pro Mahasiswa, Saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz, front tersebut ditubuhkan berasaskan suatu prinsip menegakkan kebenaran, memperjuangkan keadilan, mengukuhkan perpaduan dan memastikan semua rakyat khususnya mahasiswa mendapat layanan yang adil dan setimpal tanpa mengira bangsa dan agama.“Pro Mahasiswa Nasional ini merupakan suatu wadah untuk menyatupadukan mahasiswa di negara ini sama ada melayu, cina, india, iban dan kadazan sebagai suatu keluarga yang besar merangkumi semua IPT dan kampus di negara ini demi menegakkan kebenaran dan keadilan di samping memperjuangkan nasib mahasiswa” katanya.“Selain itu, front ini juga akan terus memperjuangkan kebebasan bersuara mahasiswa, mendesak pemansuhan AUKU dan digantikan dengan Student’s Act yang telah didraf sendiri oleh mahasiswa (GMMA) baru-baru ini. Kami juga akan terus mendesak agar setiap akta dan peraturan yang dilihat mempunyai unsur menindas dan mengugut mahasiswa dimansuhkan serta merta demi meningkatkan daya intelektual dan idealisme mahasiswa” tambahnya lagi.Selain daripada pelancaran penubuhan Pro-Mahasiswa Nasional, majlis tersebut juga diadakan bagi merasmikan kewujudan semula Speaker’s Corner di Universiti Malaya yang telah sekian lama terkubur.(untuk maklumat lanjut, sila layari tvPAS)
KENAPA AKU DIUJI?
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
Boleh jadi mau membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. -Surah Al-Baqarah ayat 286RASA FRUST?Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman.- Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).Surah Al-Imran ayat 200Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk- Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka.....-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!.
.....dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.- Surah Yusuf ayat 12

Wallahu'alam.

Jumaat, 1 Ogos 2008

RELEVANKAH AUKU MENURUT PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Oleh : Unit Penyelidikan GMMA

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) sekarang ini mula dibangkitkan semula oleh segelintir mahasiswa yang sedar. Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) adalah himpunan segelintir mahasiswa yang memperjuangkan pemansuhan AUKU. Ini kerana AUKU sama sekali bersalahan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Menurut kajian yang dibuat oleh kumpulan penyelidikan GMMA mendapati bahawa AUKU bercanggah dengan perkara 4,5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, turut menyalahi hak asasi manusia memandangkan Perkara-Perkara tersebut mengandungi peruntukan hak asasi manusia.

Apabila diteliti semula pada seksyen 15B (3) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, terdapat beberapa perkara yang boleh dikrititk dan dibahas mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Malaysia.

Antara lain yang diterangkan di dalam seksyen ini adalah peruntukan kepada Naib Canselor/Rektor yang mempunyai bidangkuasa hal ehwal pelajar mewakilkan kuasa tersebut kepada Timbalan Naib Canselor. Kemudian, membentuk Jawatankuasa Tatatertib/Pihak Berkuasa TatatertibUniversiti. Kuasa yang digagaskan oleh AUKU untuk Jawatankuasa ini amat luas meliputi kuasa menyiasat, menjalankan pendakwaan, mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman kepada pelajar yang di pertuduh didapati bersalah.

Pelajar- pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut tidak akan ada jaminan untuk mendapat perbicaraan yang adil. Ini adalah kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri daripada orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang. Ini bermakna kebarangkalian berlaku penindasan dan keputusan yang berat sebelah adalah tidak mustahil. Hal ini jelas sekali bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persukutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undan-undang. Selain itu, hal ini juga amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana badan pengadilan termasuklah mahkamah dan tribunal.

Di samping itu, AUKU memepunyai unsur diskriminasi yang sangat ketara. Jika dikaji seksyen-seksyen di dalam AUKU secara mendalam, didapati tiada sebarang provisi pun yang memperuntukkan hak kepada pelajar yang didakwa untuk mendapatkan khidmat Peguambela atau Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan kakitangan universiti termasuk pensyarah yang didakwa atas satu pertuduhan tatatertib dibenarkan untuk diwakili oleh peguam. Ini jelas membuktikan ketidakadilan AUKU dan sama sekali bercanggah dengan perkara 8 (1),(2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang secara rumusnya tidak membenarkan diskriminasi dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada itu, seksyen 15 AUKU 1971 bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada syeksen 15 (1) dan (2) AUKU yang tidak membenarkan setiap pelajar di universiti atau kolej universiti menyertai mana-mana parti politik ataupun kesatuan sekerja atau pertububahan kecuali dengan kelulusan Naib Canselor. Seksyen ini jelas bertentangan dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan. Sesuatu perkara itu tidak lagi dikira sebagai bebas jika perlu meminta izin atau kelulusan daripada seseorang. Jika dilihat populasi mahasiswa di setiap universiti di seluruh negera, mereka kebanyakannya berusia 21 tahun ke atas. Mereka telah pun mencapai usia majoriti(age of majority) dan layak untuk mengundi seperti yang lain. Maka mereka perlu diberi hak kebebasan berpolitik dan berpersatuan sepertimana yang dinikmati oleh masyarakat umum.Oleh itu, ternyata di sini hak mahasiswa untuk berpersatuan atau berpolitik telah disekat oleh provisi yang terdapat di dalam akta ini.

Seterusnya, seksyen 15 (3) dan (4) AUKU 1971 pula tidak sejajar dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Provisi ini antara lain menyekat mahasiswa daripada menyatakan sokongan atau memberi simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau keatuan sekerja atau pertubuhan yang tidak diluluskan oleh pihak universiti. Sedangkan dalam Perkara 15(1)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan setiap warganegara berhak menyuarakan pendapat.

Manakala peruntukan dalam Syeksen 15D AUKU1971 pula menjadi ancaman utama kepada pelajar,terutamanya kepada pelajar universiti yang mengalami pertuduhan sebarang kesalahan jenayah untuk digantung pengajian dengan serta-merta sehingga kesnya selesai.Peruntukan ini ternyata jelas berlawanan dengan prinsip ”a man is innocent until proven guilty”kerana pelajar terbabit telahpun dihukum sedangkan kesalahannya belum dibutikan lagi.Syeksen 15D(2) pula memeruntukkan,jika mahkamah telah membuktikan pertuduhan yang dikenakan,pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah,akan diterima kembali menyambung pengajian.Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamh akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.Tempoh pengajian pelajar tenyata terjejas disebabkan perkara ini.Atas alasan inilah mahasiswa merasakan bahawa syeksen ini perlu dimansuhkan serta-merta.

Merujuk kepada Pelembagaan Persekutuan,Perkara 4 menyatakan bahawa perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi dalam Persekutuan dan menjadi undang-undang yang digunapakai dalam negara.Oleh itu,mana-mana perlembagaan yang bertentangan dengannya adalah tidak sah.Di sinilah terbukti relevan untuk memansuhkan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Dan AUKU ternyata bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan kerana jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. Terdapat banyak percanggahan antara AUKU dan Perlembagaan Persekutuan menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa AUKU tidak relevan kepada Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menggambarlan terdapat kelompongan dalam sistem undang-undang di Malaysia. Seharusnya sebagai sebuah negara yang sudah 50 Tahun merdeka, kebebasan kita tidak sepatutnya disekat. Seolah-olah kita masih lagi terjajah dalam negara sendiri dan tidak bebas bertindak sebagai seorang rakyat yang merdeka.

Golongan cerdik pandai mahasiswa yang memperjuangkan agar AUKU ini dimansuhkan bermatlamat untuk membina ruang bagi kelompok mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin masa depan ini bersifat global, berfikir secara intelektual,bersikap lebih berani dan proaktif serta masak dengan perjalanan negara.Kelompok mahasiswa yang memperjuangkan pemansuhan ini sebenarnya telah menyahut seruan untuk membangunkan modal insan di kalangan pemuda negara.

SEJAUH MANA PINDAAN AUKU MEMBERI MANFAAT KEPADA MAHASISWA DAN MASYARAKAT

AUKU

Sejak belakangan ini, terdapat banyak pihak yang membicara tentang Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Beberapa minggu yang lalu, saya terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang,
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknologi Malaysia di ruangan rencana Berita Harian yang bertajuk 'Pindaan AUKU mampu lonjak standard pelajar IPT tempatan'. Antara beberapa isi yang ditulis oleh beliau adalah, Tujuan pindaan AUKU, antara lain, untuk menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan lebih telus, berdaya maju dan berkembang dengan budaya ilmu yang mantap. Hal ini perlu kerana banyak amalan dan tatacara semasa yang dirangka sejak awal 1970-an tidak begitu relevan untuk pembangunan modal insan pasca abad ke-20, sekali gus membolehkan IPT tempatan bersaing pada peringkat antarabangsa. Sekiranya pembaca ingin membaca mengenai pandangan beliau, sila klik di sini.


khaled nordin dan AUKU
Selepas Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Khalid Nordin) merasmikan MPP IPTA 2008, beliau ada mengatakan mengenai pindaan AUKU yang dilakukan. Jemaah kabinet telah pun bersetuju untuk meminda AUKU, namun begitu mahasiswa masih tidak dibenarkan menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik. Klik di sini untuk berita penuh ‘Pemimpin Politik Boleh Masuk IPTA’. Tetapi, adakah mahasiswa masih lagi tidak boleh menyatakan sokongan, bangkangan, simpati atau perkara yang seumpama dengannya seperti mana yang termaktub dalam AUKU (yang belum dipinda) tidak disebut di berita tersebut.

TSKOHPada 28 Julai, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan pandangannya mengenai AUKU dalam surat khabar The Star. Klik di sini untuk berita penuh . Beliau merasakan golongan ‘mahasiswa’ perlu didefinasikan semula agar hanya golongan tertentu sahaja yang akan terikat dengan AUKU.

Pada 29 Julai, Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sebagai bekas pemimpin mahasiswa, beliau mengalu-alukan pindaan AUKU yang membenarkan pemimpin parti politik mendampingi mahasiswa, tetapi berharap mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik. Klik di sini untuk berita penuh . Beliau merasakan larangan untuk mahasiswa menganggotai politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum.


Salah seorang Prof Madya daripada USM Pulau Pinang, Prof Madya Mohamad Md Yusoff turut memberikan pandangannnya. Klik di sini untuk berita penuh. Secara ringkasnya, beliau berpendapat bahawa pindaan AUKU ini mampu melonjakkan imej warga IPT tempatan. Beliau juga turut mengatakan bahawa biarlah universiti diperkasakan dengan sifat akauntabiliti, ketelusan, amanah dan sifat integriti yang tinggi nilainya. Inilah asas kecemerlangan universiti kita.

Sehingga kini, itulah di antara beberapa berita yang sempat dibaca oleh saya mengenai AUKU. Pada pandangan saya, pindaan AUKU ini adalah satu perkara yang sangat wajar, dan telah lama ditekankan oleh beberapa golongan mahasiswa antaranya GAMIS dan SMM, sehinggalah ditubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Terdapat beberapa akta dalam AUKU yang mengekang pergerakan pelajar hingga menyebabkan mereka hanya tertumpu tertumpu aktiviti dalam kampus sahaja.

Maka, persoalannya adalah, sejauh mana pindaan AUKU ini akan memberi manfaat kepada mahasiswa dan juga rakyat Malaysia? Pada hemat saya, jawapan bagi soalan ini bergantung kepada mahasiswa itu sendiri. Samada mereka masih lagi mahu berada di zon mereka pada masa ini, ataupun mereka mahu bangkit, dan menjadi sebuah golongan yang seringkali diperkatakan oleh pemimpin mahasiswa iaitu ‘mahasiswa : agen perubah masyarakat’.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...