Selasa, 27 Mac 2012

GENAP SEBULAN 27 Hari Bulan~

Alhamdulillah bersyukur kehadrat ilahi, Allah masih memberi ruang dan peluang kepada hambanya melihat dunia yang dijadikanNya untuk hamba-hambaNya berfikir. 27/2/2012 merupakan tarikh yang bersejarah buat saya walaupun sesetengah orang menghadapinya dengan keadaan biasa sahaja, dan ada juga mereka yang menghadapinya beberapa kali dan sudah lali baginya.

Ya, 27 haribulan tarikh saya memasuki dewan bedah untuk sedikit operation, bak kata kawan, “servis-servis sikit” . Bak kata formen motosikal, bila enjin moto dah buka atau dengan bahasa mereka, enjin dah usik banyak mende nak di setting balik. Side effect tu memang ada, insyaAllah jika kita jaga kesihatan, menjaga segala-galanya, berdoa kepada Allah, insyaAllah kesihatan kita ditahap yang baik.

Namun ini merupakan ujian Allah kepada hambanya bergelar insan, 26/2/2012 sekitar jam 11 pagi saya mendaftarkan diri ke wad, gerun juga masuk jarum panjang kat tangan ni. Sahabat-sahabat yang sudi membantu menghantarkan saya ke hospital, terima kasih banyak-banyak. Berjumpa dengan ketua jururawat disitu, “camne dah ready nak operation”, “insyaAllah mak cik” jawab saya. Panggil makcik sebab umurnya lebih kurang mak saya. Berbual-bual dan di tanyakan macam-macam oleh ketua jururawat tersebut. Satu kata-kata yang saya ingat darinya sehingga ia berlaku depan mata saya. “sayang seorang ibu kepada anaknya tak sehebat sayangnya seorang isteri kepada suami”. Terfikir panjang saya. Jangan marah wanita-wanita yang bakal menjadi isteri kepada suami, insyaAllah kalian juga bakal mempunyai anak. Sejarah sumayyah juga membuktikan bahawa bila anaknya dicampak kedalam api, bagaikan dipanah petir olehnya, perasaan ini tidak berlaku bila suaminya dicampak kedalam api.

Bukanlah saya ingin memperkecilkan wanita tentang kasih sayang ini, masakan tidak begitu sayang anaknya yang dikandung selama 9 bulan 10 hari(sains). Betul tak?

Bilamana kita tahu akan sesuatu yang bakal kita hadapi, pasti kita bersedia dengan secukup mungkin, bagai penjenayah yang bakal digantung di tali gantung, mereka tahu mereka akan mati, masa

dan hari yang berbaki sebelum menghadapi tali gantung itu pasti mereka penuhi dengan ibadah dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Pengalaman menghadapi operation juga begitu, sehari sebelum operation betapa perasaan ini hanyalah diletakkan sepenuh-penuh pergant

ungan kepada Allah.

Saya di bius sepatutnya separuh badan, tetapi terpaksa bius seluruh badan kerana masalah tertentu dengan dimasukkan tiub sehingga kedalam tekak saya. Gerun juga bunyinya, nasib baik ketika tu dah tak sedar apa-apa. Selepas lebih dua jam di dalam bilik bedah, saya keluar, “ seorang nurse kejutkan saya dengan memanggil nama saya supaya buka mata. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Illahi, selamat menjalani pembedahan.


Sehari selepas menjalani pembedahan, saya gagahkan diri untuk bangun. Kata seorang nurse, “kalau awak boleh bangun je, awak dibenarkan balik” Sedih dan terasa sayu hati melihat ayah dan mak menunggu datang dari jauh untuk bersama anaknya. Saya bangun dari katil dengan kaki yang terketar-ketar, hampir pengsan menahan kesakitan. Saya baring semula diatas katil dan mak lapkan kain basah ke muka saya. Allah sahaja mengetahuai apa yang saya alami ketika itu. Saya bangun kali kedua dan dipimpin oleh ayah untuk saya ke bilik air. Alhamdulillah walaupun hampir-hampir lagi mahu pitam, saya kuatkan juga. Tak tahan melihat mak dan ayah digigit nyamuk menunggu saya di wad. Alhamdulillah tegahari pada hari tersebut saya dibenarkan pulang. Lega rasanya walaupun masih tidak boleh berjalan dengan normal, terpaksa menggunakan kerusi roda pada awalnya. Terima kasih sahabat-sahabat yang sudi menjenguk saya walaupun saya hampir-hampir pulang.


“Allah bagi sakit kat enta, Allah sayang enta”, “ujian Allah buat hambaNya” dan macam- macam lagi kata-kata yang disampaikan oleh rakan-rakan, sahabat handai.

Ayat 2 Surah al-Ankabut, yang bermaksud,

"Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt."
Suatu peristiwa bilamana Saad bin Abi Waqash bertanya kepada Nabi saw, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk kena uji?"...Lalu jawab Rasulullah saw, "Yang paling teruk kena uji ialah para nabi dan para rasul, kemudiannya golongan yang mengikut para nabi selepas zaman nabi (tabiin) dan kemudiannya golongan selepas tabiin yang mengikut para tabiin."


Allah s.w.t. berfirman "Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya" (Surah At-Taghabun:11)

Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)


Terjumpa dalam satu artikal…

Andai dirimu di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan hatimu dan bersangka baiklah (husnu dzon) pada Allah SWT. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicaramu. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNya.

Sedang dirimu di uji, Allah sebenarnya ingin memeliharamu dari sejuta keburukan. Ingatlah orang-orang yang dikasihi Allah SWT. Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah engkau lapangkan dadamu dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hatimu. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran husno dzonnya engkau pada ALLAH SWT.

Isnin, 21 November 2011

~MENGAPA RASA DIRI HILANG TARBIAH SELEPAS BERSAMA DENGAN HARAKAH ISLAMIAH.~

“dulu sebelum ana bergiat dalam kerja dakwah, tarbiah ana mantap, tapi bila bergerak dalam kerja dakwah ana rasakan tarbiah ana sudah hilang, solat tahajud pun rasa susah dan...bla bla..” mendengar luahan kata sahabat tentang masalah ini membuatkan saya terfikir akan keadaan yang dialaminya, membuat saya bermuhasabah sedalam-dalamnya. Sambil itu saya teringat akan firman Allah dalam surah at-taubah ayat 42

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”

Dalam ayat ini Allah swt memberitahu kepada nabi SAW tentang kesukaran dalam membawa perjuangan islam ini, kesukaran mengajak kaumnya mengabdikan diri kepada Allah secara totalnya. Kerana mereka yang diseru itu tidak nampak akan kepentingan yang ada pada masa sekarang. Dan dalam ayat yang sebelumnya Allah memberitahu kepada pejuang-pejuang islam ini dengan feil amar,suruhan untuk terus berangkat dalam perang walau dalam keadaan apa sekalipun.

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.”

At-taubah : 41

Menyedari hakikat ini, orang yang sudah dipilih Allah SWT untuk membawa dakwah pasti mengiyakan hal ini, sukar dan bermacam-macam lagi ujian yang Allah berikan. Sambil mendalami akan isi al-quran ini, saya teringat akan sebuah buku yang dikarang oleh Almarhum Fathi Yakan yang bertajuk bahtera penyelamat. Di bahagian pertama membincangkan mengenai Rintangan Perjuangan Dakwah Dalam Kehidupan Pendakwah. Antara yang disenaraikan adalah:

  1. Orang mukmin yang dengki kepadanya
  2. Orang munafik yang benci kepadanya
  3. Orang kafir yang memeranginya
  4. Syaitan yang menyesatkan
  5. Nafsu yang merangsangnya

4 point yang terawal membincangkan permasalahan yang disebabkan oleh pihak lain, dan point yang kelima menyebut akan rintangan itu juga bermula dalam diri seorang pendakwah. Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang isi tersebut, cumanya ingin mengajak rakan-rakan pembaca berfikir, akan ujian yang Allah berikan kepada kita sebelum dan selepas kita berintima’ dengan harakah islamiah. Dulunya kita rasakan tidak punyai mad’u untuk membawa mereka bersama untuk mengenal Allah SWT apatah lagi tugasan membawa risalah islam, bukannya tidak ada, mungkin tidak mengendahnya kerana tidak merasakan ia adalah satu tanggungjawab sebagai orang islam. Kini Allah SWT memilih saya dan rakan-rakan pembaca mungkin, diberikan kefahaman untuk memegang bara api membawa risalah islam, menjadikan ia sebagai satu kewajiban yang mesti dilunaskan. Kerana apa? Allah SWT memilih kita. UJIAN?? Bagaimana? Sudah tentu ianya berlainan sebelum dan selepas. Dulunya kita bersendirian memandu diri, kini kita memasang tempat duduk berlebihan untuk dinaiki oleh orang lain, dan ada juga memasang enjin turbo(menelaah,membina gedung ilmu) agar pemanduannya lebih sedap dan lancar. Dan ia memerlukan mujahadah yang tinggi, masakan tidak,dulunya syaitan yang cuba mengalahkan kita adalah prebek, tetapi bila Allah menitipkan kefahaman untuk membawa orang lain agar mengabdikan diri kepada Allah sudah tentu syaitan tidak senang duduk, pastinya dihantar pangkat yang tinggi sedikit kepada kita. Maka ujian yang diterima adalah berlainan. Dan ujian yang Allah berikan tidak lain dan bukan untuk meninggikan martabat pejuang agama Allah.

Point yang kelima dalam buku bahtera penyelamat (bahagian pertama) perlulah kita renung bersama. Bagaimana kita memelihara hati agar terus hidup, bagaimana kedudukan hati dalam diri dan bagaimana mujahadah kita dalam memerangai nafsu. Marilah bersama-sama kita muhasabah diri. Bukan orang lain yang perlu disalahkan, tetapi marilah lihat diri sendiri.

Ahli dalam harakah islamiah sering menjadikan kekurangan pimpinan sebagai alasan mereka tidak menerima tarbiah yang sebaiknya. Sebagai ahli yang memahami, pembentukan diri juga perlu dimainkan oleh diri sendiri, akal yang diberikan Allah untuk kita berfikir, kekurangan pada diri perlu ditampung dengan ilmu, zikir, ibadah kepada Allah. Dan kejayaan sesuatu harakah islam juga bukan semata-mata terletak kepada pemimpinnya, tetapi juga ahlinya.

Sejarah juga membuktikan bahawa rakyat/ahlinya memainkan peranan yang penting dalam memenangi sesuatu peperangan oleh tentera islam. Sebagai contoh ketika al-fateh mengalami kesukaran menundukkan Romawi Byzantium di Konstantinopel, beliau melakukan operasi menyelidik sejauh mana akhlak tenteranya dan didapatinya ada seorang tentera yang sedang minum arak. Solahuddin al-Ayyubi berpura-pura sakit dan berpakat dengan doctor peribadinya supaya mengumumkan kepada rakyat bahawa sultan sakit dan penawarnya adalah air arak. Maka tidak ada arak yang sampai kepadanya dan diselidiki seluruh khemah maka tiada arak juga. Kemudian al-Ayyubi bangun dan bersedia untuk berperang kerana tenteranya bersih dari kotoran maksiat.

Maka benarlah juga Rasulullah SAW. Dalam satu riwayat, Baginda SAW terlupa bilangan rakaat dalam solat. Lalu baginda SAW dengan penuh berhikmah menyebut, “barangkali ada diantara kalian yang tidak sempurna wudhuknya”. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberikan kesan negatif tanpa disedari kepada pimpinan atasan.

Rakan-rakan pembaca sekalian, sedikit renungan buat diri saya jua. Tulisan ini saya cuba rungkaikan berdasarkan masalah yang pernah saya terima dan dicerita oleh sahabat-sahabat saya. Moga-moga ia bermanfaat. Ianya juga bermula dari diri, bukan salah orang lain. Menjadi sebahagian dari harakah islam bermakna kita juga sebahagian dari pencetus kemenangan atau kekalahan sesuatu harakah. Fahamilah sejarah banyak membuktikan, apabila tentera islam mengetepikan soal kebersihan hati, mereka menempa kekalahan bukan lagi kemenangan. Malah Allah SWT akan menghina mereka dengan kekalahan yang teruk dan memalukan sebagaimana yang pernah berlaku dalam peristiwa Pelanggaran Tartar.

Persoalan merasakan diri hilangnya tarbiah sesudah bersama harakah islam, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu melalui tulisan yang tidak seberapa terperinci ini. INGAT sebelum dan selepas adalah lain, maka ujiannya adalah lain. Moga Allah memandu hati saya jua dalam membina jiwa yang besar sebagai abnaul harakah.Wassalam.

~mohaz~

Isnin, 11 Julai 2011

KOLOKIUM ULAMA MUDA KEBANGSAAN 2011



Khamis, 5 Mei 2011

.:BerHenTI MeNJaDi GeLas( 'Qalbi'):.

Alhamdulillah. Ujian menempuh final exam di UTM telahpun ditamatkan, saya diantara yang terawal menghabiskan final exam di UTM kerana paling lambat di UTM adalah pada 15/5, kemudian Latihan Industri pula akan ditempuhi pada Isnin ini, Fuh! Mengeluh jugak, tak sempat melepaskan lelah final exam yang perlu dihadapi pada sem ni secara berderet kemudian terus LI. Namun bersyukur kerana pengakhiran exam pada hari ini sangat memuaskan hati . Allah permudahkan saya pada sem ni walaupun ada ujian-ujian lain yang terpaksa hadapi sehingga berat untuk kaki melangkah. Sebelum meninggalkan UTM saya ingin kongsikan satu artikal yang terjumpa dalam internet..sama-sama untuk kita ambil ibrahnya..

.:BerHenTI MeNJaDi GeLas( 'Qalbi'):.


Seorang guru sufi mendatangi seorang muridnya ketika wajahnya kebelakangan ini selalu
nampak moody."Kenapa kau selalu moody, nak?

Bukankah banyak hal yang best best dan indah di dunia ni? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?" sang Guru bertanya.


"Guru, kebelakangan ini hidup saya penuh masalah. Berat bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tak ada habis-habisnya," jawab sang murid muda.

Sang Guru terkekeh. "Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam.Bawalah kemari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu."Si murid pun beranjak perlahan tanpa semangat.

Ia laksanakan permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang diminta."Cuba ambil segenggam garam, dan masukkan ke segelas air itu," kata Sang Guru. "Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit."

Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini merengis kerana minum masin."Bagaimana rasanya?" tanya Sang Guru."Masin, dan perutku jadi mual," jawab si murid dengan wajah yang masih merengis.

Sang Guru terkekeh-kekeh melihat wajah muridnya ."Sekarang kau ikut aku." Sang Guru membawa muridnya ke danau berhampiran tempat mereka.

"Ambil garam yang tersisa, dan tebarkan ke danau."Si murid menebarkan segenggam garam yang tersisa ke danau. Rasa masin di mulutnya belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin dari mulutnya, tapi tak dilakukannya.

Rasanya tak sopan meludah di hadapan mursyid, begitu fikirnya."Sekarang, cuba kau minum air danau itu," kata Sang Guru sambil mencari batu yang cukup datar untuk didudukinya, tepat di pinggir danau.

Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air danau, dan meneguknya. Ketika air danau yang dingin dan segar mengalir di kerongkongnya, Sang Guru bertanya kepadanya, "Bagaimana rasanya?"Segar, segar sekali," kata si murid sambil mengelap bibirnya.

Danau ini berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah.Dan sudah pasti, air danau ini juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya."Terasakah rasa garam yang kau tebarkan tadi?" "Tidak sama sekali," kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Sang Guru hanya tersenyum memperhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air danau sampai puas.

"Nak," kata Sang Guru setelah muridnya selesai minum. "Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih.Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah dikadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu.

Jumlahnya tetap, man man saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah."Si murid terdiam, mendengarkan."Tapi Nak, rasa masin dari penderitaan yang dialami itu sangat tergantung dari besarnya 'qalbu'(hati) yang menampungnya. Jadi Nak,supaya tidak merasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan qalbu dalam dadamu itu jadi sebesar danau."

Rabu, 23 Mac 2011

.: Adakah Berjuang Itu Satu Tarbiah Atau Tarbiah Sebelum Berjuang :.


Persoalan yang selalu bermain difikiran mereka samada layakkah mereka memacu perjuangan dengan keadaan ilmu yang masih berkurangan, adakah dalam konteks sekarang memerlukan kita untuk berjuang dan kemuadian kita susuli dengan ilmu, adakah perjuangan bukan satu bentuk pentarbiahan? tarbiah dahulu baru berjuang. Saya ingin bawakan beberapa sirah untuk bersama berbincang sedikit persoalan mengenai topik ini dan saya bahagikan kepada beberapa bahagian untuk kita amatinya.


Fasa Dakwah

Dakwah Rasulullah s.a.w. dimulakan dengan fasa kerahsiaan identiti, tanzim dan aktiviti dakwah selama tiga tahun. Sesudah itu ia masuk ke fasa berdakwah secara terang-terangan sesudah turunnya ayat: “dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (As-Syu’ara: 214). Ada kisah pertemuan-pertemuan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. di rumah Arqam bin Abi Arqam, seorang pemuda yang pemilihan rumahnya memberikan beberapa kelebihan dari sudut keselamatan. Rasulullah s.a.w. juga berkata kepada mereka: “Tahan tangan-tangan kamu sebaliknya dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat.”

Fasa ini berterusan untuk satu tempoh. Persoalan timbul tentang tabiat fasa ini; adakah ia bermaksud para sahabat r.a. perlu ditarbiah untuk satu tempoh tertentu sebelum terlibat di dalam medan dakwah? Jika itu betul, adakah ianya kaedah yang diguna pakai juga kepada sahabat-sahabat r.a. yang memeluk Islam sesudah fasa ini; tarbiah untuk satu tempoh sebelum diberikan tugasan dakwah dan jihad? Jika itu adalah petunjuk dari sirah, adakah organisasi dakwah hari ini juga perlu mengambil kaedah yang sama?

Kajian terhadap jarak waktu di antara keislaman para sahabat r.a. dan penugasan dakwah dan jihad kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali menyokong pandangan di atas. Sebaliknya apa yang kita dapati adalah sebaliknya.


Sahabat dan Tarbiah Rasulullah s.a.w.

Bilangan sahabat r.a. melebihi 100,000 orang. Ini jika sekiranya kita mengambil pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang mentakrifkan sahabat r.a.: “Sesiapa yang hidup bersama Rasulullah s.a.w. untuk satu tempoh yang panjang atau pendek, yang meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w. atau tidak meriwayatkan hadis, sesiapa yang ikut serta berperang bersama Baginda s.a.w. dan sesiapa yang tidak ikut serta, sesiapa yang pernah melihat Baginda s.a.w. walau pun tidak pernah duduk semajlis dengannya dan sesiapa yang tidak pernah melihat Baginda s.a.w. kerana sesuatu halangan seperti buta.” Dengan takrif itu termasuk di dalam kelompok yang disebut sebagai ‘bintang-bintang di langit’ ini semua yang pernah menghadiri haji wida’ (perpisahan). As-Syeikh Muhammad al-Khudari mengatakan bahawa bilangan mereka yang hadir di peristiwa haji wida’ (perpisahan) tersebut adalah seramai 90,000 orang. Jika kita campurkan bilangan baki sahabat r.a., ahli keluarga mereka di Madinah yang tidak ikut serta di dalam haji wida’ dan sedikit yang memeluk Islam selepas itu, bilangan itu sememangnya mencecah lebih 100,000 orang.

Pentarbiahan Rasulullah s.a.w. terhadap mereka berlaku dalam bentuk yang pelbagai. Tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang para sahabat r.a. dan persaksian sejarah membuktikan penglibatan mereka – kesemua mereka – di dalam dakwah dan jihad. Dengan erti kata lain pentarbiahan yang pelbagai bentuk tersebut berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pendakwah yang telah pun lulus ‘piawai’ tarbiah tersebut.

Jika kita mengkatogerikan para sahabat r.a. berdasarkan bentuk pentarbiahan yang mereka terima dari Rasulullah s.a.w. secara mudahnya kita boleh mengkatogerikan mereka kepada beberapa kategori.


Kelompok Pertama

Kelompok yang bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari fasa Mekah sehingga ke hujung fasa Madinah. Mereka mendapat pentarbiahan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. dalam setiap keadaan. Dorongan untuk mereka terlibat di dalam dakwah dan jihad dengan satu kesungguhan luar biasa dan dengan kaedah yang betul mudah untuk kita fahami. Rasulullah s.a.w. bersama mereka di setiap detik kehidupan mereka; menegur mereka, memberikan arahan, menasihat, mendidik dan membentuk.

Berapakah bilangan mereka?

Jika dibandingkan dengan bilangan sahabat r.a. keseluruhannya, nisbah bilangan mereka adalah terlalu kecil. Jika sekiranya kita tolak 183 orang lelaki dan 18 orang wanita di kalangan sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah, bilangan mereka di kelompok ini tidak melebihi 200 orang. 200 dari 100,000 orang? Hanya 0.2% sahaja.

Apa bentuk pentarbiahan mereka? Apa bahan yang mereka bincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada mereka sebelum memulakan dakwah?

Dr. Jasim Muhammad Sultan berpendapat: “Rasulullah s.a.w. tidak meletakkan kadar suntikan tarbiah kepada seseorang muslim sebelum mereka terlibat di dalam projek-projek Islam kecuali dua kalimah syahadah. Tarbiah akan diteruskan selepas itu beriringan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku.”

Saya melihat kebenaran pada kata-katanya. Beberapa peristiwa yang berlaku kepada kelompok ini menyokong pandangan beliau.

Saidina Abu Bakar r.a. menyeru kepada Islam dari hari pertama dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Di tangan beliau lima dari sepuluh yang dijamin masuk syurga oleh Baginda s.a.w. memeluk Islam. Mereka adalah Osman bin Affan r.a., Abdul Rahman bin Auf r.a., Saad bin Abi Waqqas r.a., az-Zubair bin al-Awwam r.a. dan Tolhah bin Ubaidillah r.a.

Di samping itu beliau juga menebus hamba yang memeluk Islam. Beliau juga mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari sebarang gangguan.

Apa yang beliau lakukan hanyalah hasil dari kefahaman terhadap beberapa ayat al-Quran. Bukan perincian yang mendalam tentang Islam, tetapi hanya beberapa ayat.

Fakta yang cukup menarik juga kita dapati apabila kita mengkaji peristiwa keislaman Omar al-Khattab r.a. dan Hamzah bin Abd. Mutalib r.a. Mereka beriman di penghujung tahun kelima kenabian. Tetapi mereka mendahului sebahagian dari sahabat r.a. yang pernah ditarbiah di rumah Arqam bin Abi Arqam r.a. Saidina Omar r.a. sendiri termasuk di dalam kelompok 10 yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.; satu-satunya dari 10 orang itu yang masuk Islam selepas fasa rahsia pada tiga tahun pertama.

Berkenaan Saidina Omar r.a. ini Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Keislaman Omar r.a. adalah pembukaan. Hijrahnya adalah kemenangan. Pemerintahannya adalah rahmat. Kami tidak pernah bersembahyang di hadapan Ka’bah sehinggalah Omar r.a. memeluk Islam. Apabila dia memeluk Islam, dia melawan Quraisy dan bersembahyang di hadapan ka’bah. Lalu kami pun bersembahyang bersama-sama dengannya.”

Persoalan yang sama kita bersama fikirkan, apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Omar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Omar r.a. sebelum memulakan dakwah?

Jawapannya akan kita dapati pada kata-kata Dr. Jasim Muhammad Sultan di atas.


Kelompok Kedua

Kelompok yang memeluk Islam kemudian diarahkan agar meninggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka terbahagi kepada dua kategori; ahli rombongan hijrah ke Habsyah dan sahabat yang diminta kembali ke kabilah masing-masing.

Para sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah berjumlah seramai 183 orang lelaki dan 18 orang wanita. Jumlah ini menyamai jumlah sahabat r.a. yang duduk kekal di Mekah. Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka dua tahun sesudah bermulanya fasa dakwah terang-terangan: “Apa kata jika kamu pergi ke bumi Habsyah. Di situ ada seorang raja, siapa berada di sisinya tidak akan dizalimi. Ia adalah bumi kebenaran. Duduklah di situ sehingga Allah mengeluarkan kamu dari kesengsaraan kamu sekarang.”

Mereka berada di sana bermula dari tahun kelima kenabian dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w. selepas peperangan Khaibar pada tahun ketujuh hijrah. 15 tahun di Habsyah, jauh dari Rasulullah s.a.w. dan baki sahabat r.a. Tinggal di bumi Kristian yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri. Berjiran dan dikelilingi oleh penganut agama Kristian yang ta’asub dengan ajaran itu dan mempertahankannya. Sedangkan mereka baru memeluk Islam. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. cukup berani mempertaruhkan nasib mereka? Siapa yang mentarbiah mereka di sana? Cukupkah bekalan yang mereka dapati di Mekah untuk hidup di bumi yang asing ini? Terjagakah iman mereka sebelum kita bertanya mampukah mereka berdakwah di sana?

Pentarbiahan berlaku dalam bentuknya yang tersendiri. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Habsyah mematangkan mereka. Mereka menyempurnakan kefahaman dakwah mereka di situ selama 15 tahun; jauh dari sumber wahyu. Kemungkinan ayat-ayat yang turun kepada Rasulullah s.a.w. sampai kepada mereka dari hari ke hari walau pun mungkin terlalu lambat jika dibandingkan dengan para sahabat r.a. yang berada di Mekah. Itu adalah bentuk tarbiah terbaik yang kami jangkakan walau pun ia mungkin sekadar satu andaian. Apa yang pastinya, Rasulullah s.a.w. tidak ada di sisi mereka untuk menegur dan membimbing mereka setiap hari.

Satu lagi fakta menarik kami temui di dalam kelompok ini. Fakta ini membuktikan pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap pencapaian kefahaman dakwah dan jihad pada tahap tinggi yang mereka dapati di Habsyah. Ketua rombongan hijrah ke bumi Habsyah iaitu Ja’far bin Abu Talib r.a. dilantik oleh Rasulullah s.a.w. mengetuai ekspedisi perang Muktah hanya beberapa bulan sesudah tiba di Madinah dari Habsyah. Turut serta di dalam peperangan itu adalah Abdullah bin Mas’ud dan al-Miqdad bin al-Aswad r.a. Kedua-duanya adalah ahli rombongan hijrah ke Habsyah. Satu yang kami rasakan cukup menakjubkan dan cukup penting untuk dikaji oleh peminat-peminat ilmu tarbiah da’awiah harakiah.

Perkara yang lebih kurang sama berlaku kepada sahabat yang beriman dan diminta kembali ke kabilah masing-masing. Di antara mereka adalah Abu Zar al-Ghifari. Dia memeluk Islam di Mekah dan bertemu kembali dengan Rasulullah s.a.w. di Madinah bersama dengan dua kabilah yang telah memeluk Islam; kabilah Aslam dan Ghaffar.

Rasulullah s.a.w. pernah menyifatkan Abu Zar r.a.: “Seorang pemuda yang tepat ungkapannya kata-katanya.” Dengan kelebihan itu beliau r.a. menyeru kedua-dua kabilah tersebut kepada Islam.

Persoalan yang sama, apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Abu Zar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Abu Zar r.a. sebelum memulakan dakwah dan berjaya mengislamkan dua kabilah yang besar?

Kelompok Ketiga

Suku Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai kaum Ansor selepas penubuhan negara Islam Madinah. Sebahagian mereka beriman sebelum peristiwa hijrah tetapi kebanyakannya beriman ketika Rasulullah s.a.w. berada di Madinah. Mereka tidak pernah menerima pentarbiahan di Mekah seperti golongan Muhajirin. Mereka beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam bukan fasa kerahsiaan dan fasa dakwah terang-terangan di Mekah. Mereka tidak berdepan dengan Quraisy dalam keadan Islam lemah. Mereka berdepan dengan kaum Quraisy dalam keadaan Islam kuat. Mereka tidak melalui fasa yang dilalui oleh golongan Muhajirin. Tetapi mereka memberikan sumbangan yang tidak kurang besarnya kepada Islam. Beberapa ayat al-Quran memuji golongan Ansar. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:

“dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)

Allah sifatkan mereka sebagai ‘orang-orang yang berjaya’. Persaksian yang membuktikan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah. Mereka berdakwah di awal keislaman mereka lagi.

Satu kisah berkenaan seorang Ansar bernama Nu’aim bin Mas’ud di dalam peperangan Ahzab ingin kami ketengahkan di sini sebagai bahan renungan kita semua. Beliau beriman di tengah-tengah peperangan Ahzab. Selepas keislamannya beliau bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apa-apa yang ingin diminta beliau lakukan. Beliau sanggup melakukan apa sahaja.

Perhatikan detik-detik peristiwa yang berlaku kepada pemuda ini. Beliau terlalu baru memeluk Islam, tidak pernah menerima apa juga bentuk pentarbiahan dari Rasulullah s.a.w. dan bahkan mungkin tidak sempat langsung untuk menghafal walau pun satu potong ayat al-Quran. Arahan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada beliau menjadi panduan kita di dalam kajian tarbiah da’awiah harakiah. Beliau tidak diarahkan duduk di soff belakang dan ditarbiah dahulu oleh sahabat-sahabat besar. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. memberikannya satu tugasan yang cukup berisiko dan dia berjaya melakukannya. Beliau berjaya menyelinap ke dalam kedua-dua kumpulan Quraisy dan Yahudi, mencetuskan perbalahan di antara kedua pihak dan membawa kepada kemenangan kepada Islam.

Apa yang mampu dipelajari oleh pemuda ini beberapa detik selepas keislamannya sehingga beliau dapat memainkan peranan yang besar ini?

Kelompok Keempat

Kaum Quraisy yang tidak beriman di fasa Mekah sebaliknya beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam di Madinah.

Di antara mereka adalah Khalid bin al-Walid r.a. yang memeluk Islam selepas melihat keajaiban yang berlaku kepada tentera Islam di dalam peristiwa Hudhaibiah. Beliau memeluk Islam dan memimpin tentera Islam beberapa bulan selepas keislamannya. Kegemilangan beliau memimpin tentera Islam tidak perlu kita ketengahkan di sini. Ia adalah kisah yang masyhur dan tidak perlukan banyak penjelasan dibuat berkenannya.

Kelompok Kelima

Kelompok terpencil yang menyembunyikan keislaman mereka di Mekah. Mereka menzahirkan keislaman mereka sebelum pembukaan Mekah. Sebahagian daripada mereka memberikan sumbangan kepada Islam dalam bentuk-bentuk tertentu yang tidak dilakukan oleh sahabat-sahabat lain yang menzahirkan keislaman mereka.

Di antaranya adalah Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Beliau menyaksikan peristiwa Bai’ah Aqabah kedua dalam keadaan belum memeluk Islam. Bahkan berlaku perbualan di antara wakil Ansor dengan beliau meminta persetujuan beliau sebelum mereka membuat keputusan untuk membawa Rasulullah s.a.w. ke Yathrib.

Bagaimana sumbangan kepada dakwah boleh berlaku dalam bentuk yang sedemikian? Satu lagi peristiwa yang mengajak kita untuk berfikir tentang topik penglibatan dakwah seseorang dan kaitannya dengan tarbiah

Kelompok Keenam

Mereka adalah kelompok yang beriman selepas pembukaan Mekah. Mereka beriman sesudah Islam berjaya membuktikan kekuatan dan keunggulannya. Di antara mereka adalah Ikrimah bin Abu Jahl r.a., Suhail bin Amru r.a. dan Sofwan bin Umayyah r.a.

Mereka telah membuktikan di dalam sejarah tentang sumbangan mereka kepada Islam terutamanya di dalam siri-siri peperangan membenteras gejala murtad di seluruh Semenanjung Tanah Arab di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

Berapakah jarak masa di antara pertemuan mereka dengan Rasulullah s.a.w. dan penglibatan mereka di dalam jihad tersebut? Ia adalah jarak yang cukup pendek.

Qaedah Sulbah

Qaedah sulbah adalah satu istilah merujuk kepada sekelompok manusia yang menjadi tulang belakang kepada umat Islam. Mereka akan bersama umat dalam kegembiraan dan kedukaan umat. Mereka mengorbankan segala yang mereka miliki untuk umat. Masa depan umat adalah masa depan mereka. Jiwa mereka tulus dan suci. Mereka ikhlas di dalam perkataan dan perbuatan. Mereka tidak memandang dunia sebagai matlamat hidup. Mereka membawa diri mereka menghampiri Allah dengan bertaabud kepadanya melalui segala amal baik mereka dan segala sumbangan mereka kepada umat. Nasib umat terletak di tangan mereka. Pencerobohan musuh tidak akan berjaya selagi mereka ada.

Bagaimanakah proses melahirkan qaedah sulbah ini?

Mereka tidak akan datang dari aktiviti tarbiah di bawah bumbung-bumbung dan di dalam bilik-bilik yang tertutup. Tetapi mereka datang dari medan dakwah yang mereka berada di dalamnya. Medan itulah yang akan melahirkan mereka dan yang akan mengasingkan mereka dari pendakwah-pendakwah yang tidak tulin.

Apa yang saya cuba nukilkan di sini bukanlah bermaksud ingin memperkecilkan isu tarbiah.Apa yang saya ingin ungkapkan di sini adalah kesempurnaan proses tarbiah itu sendiri sebenarnya tidak akan berlaku jika kita menghadkan aktiviti tarbiah tanpa penglibatan di dalam medan. Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. menunjukkan kepada kita bahawa ia bukanlah dua perkara yang berasingan, yang pertama mendahului yang kedua. Tidak juga menunjukkan bahawa sesiapa yang lama ditarbiah akan lebih thabat bila masuk ke medan dakwah. Medan akan menyempurnakan tarbiah dan menguji thabat seterusnya melahirkan qaedah sulbah.

Saya juga tidak bermaksud dengan kefahaman yang sedikit maka pendakwah mesti terus terjun ke medan dakwah yang luas atau apa juga bentuk dan saiz medan tersebut.

Membuka medan dakwah kepada pendakwah mesti dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan tahap kemampuannya. Ia adalah sesuatu yang sukar. Tetapi kesukaran tersebut tidak seharusnya membawa kepada satu pendekatan mudah yang dilakukan oleh sebahagian pendakwah iaitu membuka terus medan dakwah kepada segala jenis pendakwah tanpa mengambil kira kemampuan dan kesesuaiannya.

Kita dapat melihat perkara ini yang sudahpun tercatat dalam sirah. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Abu Bakar r.a. tidak mampu dimainkan oleh orang lain. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Dihyah al-Kalbi r.a. tidak mampu dimainkan oleh sahabat-sahabat besar. Begitulah seterusnya kita dapati satu persatu penugasan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dilakukan dengan cukup teliti.

Semoga dengan secebis pandangan ini dapat membuka pemikiran yang luas buat aktivis dakwah. Mudah-mudahan apa juga aktiviti tarbiah itu tidak akan menjadi penghalang kepada sampainya kebaikan yang kita miliki kepada umat Islam dan seterusnya menjadi sebahagian dari penyelesaian kepada masalah umat.


Isnin, 21 Mac 2011

.: JOM DATANG :.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...